01 August 2011

Ramadhan Kareem..

Ramadhan tiba lagi...Alhamdulillah...itulah sebaik-baik lafaz untuk mensyukuri kedatangan Ramadhan yg mana kita berkesempatan meraikannya tahun ini. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan.  Inilah yang sering kita doakan :

“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan 
Ramadhan.”

Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat terawih,salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan.  Semoga Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.



Rasulullah (saw)  diriwayatkan  sebagai bersabda  ketika menjelang Ramadhan bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan  ke
atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan
ditambat para syaitan,  Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan.
Sesiapa yang tidak  berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia
rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)

Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap menjelangnya Ramadhan.
Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin.  Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting.   Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini.  Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.Rasullullah (saw)  menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal  begitu luas
terbentang,  jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah
dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang  tiada-tolok bandingnya.Nah.. jika  begitu.  Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini.  Mahukah kita menerima tawaran dan pemberian Allah ini?  Mahukah kita menjadi hamba-Nya yang mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang  bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin  melampaui kadar umur kita?

Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis  tersebut:
“Sesiapa yang tidak  berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia
rugi”.

Maka pada malam ini,  marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak mungkin keberkatan di bulan Ramadhan.  Pada malam ini,  kita tingkatkan komitment kita untuk rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita pasang  janji kita untuk  berlumba memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk  beramal dan beribadah. Pada malam ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang rugi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...